Pengenalan tumbuhan herba dan ubatan tradisional


 Tumbuhan merupakan rahmat Allah s.w.t yang tidak ternilai kepada manusia. 
Bukan sahaja sebagai makanan seharian, malahan untuk kegunaan berbagai bidang kehidupan kita. Termasuklah bidang perubatan, menyembuh dan membasmi berbagai jenis penyakit.

 Selain daripada khasiat dan keberkesanannya, ubat-ubat tradisional juga dianggap lebih baik dan selamat kerana ramuannya yang asli dan tidak mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan

 Dianggarkan terdapat kira-kira 15000 spesies tumbuhan berbunga di negara ini dan 8500 daripadanya di Semenanjung Malaysia.Daripada jumlah ini kira-kira 2000 spesies didapati mempunyai ciri-ciri terapeutik yang boleh digunakan dalam perubatan tradisional termasuklah tumbuhan liar yang hidup melata.


 Banyak rahsia alam telah tersingkap melalui penggunaan tumbuhan sebagai ubatan.
Sejak zaman berzaman, manusia telah mendapat khasiat daripada tumbuhan.

 Orang Melayu khususnya telah lama menggunakan tumbuhan untuk mengubati penyakit. 
Sebahagian besar tumbuhan yang berubat dan yang boleh dijadikan ramuan dalam mengubati penyakit boleh ditemui di sekitar kawasan rumah dan kediaman.

 Kebanyakan tumbuhan ini ditanam sejak zaman berzaman oleh nenek moyang kita sebagai tanaman hiasan dan juga untuk dijadikan ubat. 
Ubat-ubat ini biasanya disediakan dengan mencampurkan beberapa jenis tumbuhan dan bahagian-bahagian yang tertentu supaya lebih mujarab.
Kadangkala, ubat ini dijampi dan diikuti dengan doa dan petua-petua tertentu.


 Setiap tumbuhan yang ingin digunakan sebagai ubat hendaklah dikenalpasti dengan betul. 
Ini kerana tumbuhan yang berbeza mungkin akan mempunyai khasiat yang berbeza, dan ada juga yang boleh memudaratkan.

 Tumbuhan ubatan juga perlu diambil dalam sukatan yang ditentukan. 
Ini kerana sukatan yang berlebihan, besar kemungkinan akan memberi kesan sampingan yang tidak baik. 
Oleh itu, setiap ubatan yang dihasilkan daripada tumbuhan mestilah disediakan atau diambil dengan cara dan sukatan yang betul.

Tahukah anda?

 Sejak akhir-akhir ini kesedaran dikalangan semua tentang kebaikan perubatan tradisional, khususnya penggunaan tumbuh-tumbuhan herba, semakin meningkat.

 Banyak terdapat kes-kes di mana seseorang pesakit yang telah puas berubat secara moden dan kemudiannya beralih kepada perubatan tradisional, sembuh dengan sepenuhnya. Ini mungkin kerana ubat-ubat moden selalunya bersifat sementara dan bertindak untuk melegakan rasa sakit sahaja. Manakala ubat-ubat tradisional dari tumbuhan-tumbuhan herba dan akar-akar kayu bertindak ke atas punca penyakit dan seterusnya menjadi penyembuh penyakit.

 Para pengkaji di institut-institut penyelidikan seperti MARDI dan institut-institut
pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Putera Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuktikan keberkesanan ubat-ubatan tradisional dan kini sedang mengusahakan untuk memproses dan mengedarkan ubat-ubatan ini dalam bentuk yang lebih mudah diambil dan didapati seperti pil dan kapsul.